Sunday, January 31, 2010

Saturday, January 30, 2010

Zenzanon

OM1n + Samsung 100 Basi + Panas Yang Terik Nun Di Hujung Stesen

"Ada tiga cara kita boleh mempelajari kebijaksanaan ; Pertamanya melalui cerminan perkara lain, yang mana yang paling mulia ; kedua, kita meniru cara orang lain, yang mana ianya adalah yang paling mudah; dan yang ketiga, melalui pengalaman hidup kita sendiri, yang ini paling jerih" - Confucius

p/s: Terima kasih Sdr. Ichi untuk masa :)


Wednesday, January 27, 2010

Ra'ayat Biasa

MjuII + Samsung 100 Basi + Kemudahan Paling Asas Untuk Mentaliti Kita

"Bagaimana suatu masyarakat itu yang wujud dalam dunia kentang putar segera, makanan sejuk beku, kek yang dibungkus dan kamera pakai buang ingin mengajar kesabaran terhadap muda - mudinya?" - Paul Sweeney

Dekad Yang Baru

Salam, hari ini genaplah usia saya dua dekad. Pejam celik, pejam celik, tahun-tahun lampau sudah pun saya lewati dengan pelbagai perasaan yang bercampur baur. Ingatan paling lama dan paling segar yang saya ada sampai hari ini adalah masa ketika saya berumur 5 ataupun 4 tahun, waktu itu saya pergi menonton pameran Dinosaur di Subang Jaya.

Macam-macam dalam tempoh masa 20 tahun ini saya kecap. Hidup ini sememangnya hebat dan penuh dengan debaran, ditambah pula dengan liku-liku yang pernah menggelincirkan saya kedalam kawasan gelap dan terang.

Angka 20 hari ini sudah cukup untuk saya memutarkan semula filem-filem memori lama dalam kotak fikiran ini. Saya hidupkan satu persatu memori itu semula dalam beberapa hari belakangan ini, membuatkan saya tersenyum seseorang, malah monolog dalaman juga.

Masa saya selama dua dekad ini zaman kanak-kanaknya banyak saya habiskan bersama dengan keluarga. Syukur, saya mempunyai keluarga yang sangat penyayang walau pandangan alam masing-masing berbeza tapi itu sudah cukup membahagiakan saya bersama mereka. Zaman kanak-kanak saya sungguh cukup serba serbinya. Waktu itu siri televisyen Jepun yang paling saya minat adalah Masked Rider Black RX, Flashman, Cybercop dan Ultraman, dan saya rasa memang sebab hero-hero khayalan tadilah saya menjadi manusia yang seperti hari ini. Ligat fikiran saya melayang bersama mereka saban hari.

Sampai hari ini saya hafal lagu siri-siri tadi, (bukti : ada CD dalam kereta saya)

Saya tahu banyak yang saya tulis dalam blog ini kadangkala sangat dekat dengan cerita peribadi saya, dan kadangkala jauh sekali. Memang saya sengaja menulis begini.

Membesar dewasa bersama manusia sebaya yang datang dari pelbagai latar belakang sudah cukup membuka minda dan merubah pandangan alam saya yang saya bina sendiri di rumah dulu. Cara saya berfikir banyaknya dipengaruhi dengan bau-bauan Sungai Kuala Kangsar. Oh, kalau siapa-siapalah tahu sedapnya makan roti canai di Square.

Tapi saya tak nafikan Ayah saya sendiri banyak mendoktrinkan fikiran saya walaupun kadangkala pandangan orang lama ini agak jumud sedikit dari arah seginya.

Pengalaman berada dalam lingkungan orang-orang berilmu tinggi dan suasana dinni suatu ketika dulu memang saya tak akan lupakan. Saya jadikan orang ramai yang lalu singgah dalam hidup saya 20 tahun ke belakang ini sebagai guru yang tak bergaji dan tak berpangkat. Yang pasti ramai daripadanya rakan-rakan saya sendiri, orang yang saya tak kenali, cikgu di sekolah dulu dan juga buku-buku yang saya baca.

Seronok mendengar pemikiran orang lain tentang perihal sesuatu perkara.

Memang tabiat saya dari saya sejak umur 13 tahun lagi untuk nampak matang dari rakan sebaya saya, kepura-puraan yang saya mainkan ini kadangkala berjaya melebihkan saya sedikit, tapi kaca tetap kaca dan bukannya berlian.

Saya rasa fasa untuk menuju kedekad yang lain ini akan saya isikan lagi dengan pelbagai pengalaman baru dan cara baru, banyak reformasi, sedikit angan-angan dan beribu impian.

Ah, masa berlalu pasti akan lebih cepat nanti. Tapi masa lepas tak akan saya lupakan. Saya tahu saya kadangkala lambat dan kadangkala terlalu cepat, tapi apa yang saya tahu, saya takkan berhenti.

Lagi satu, sekarang saya kurangkan sedikit memetik kamera, sebab Asas Mekanik Bahan sangat dalam kandungannya untuk dihadam.


MjuII + Samsung 200 Yang Sudah Basi Tahun 2001 + Putaran Hidup Manusia

Wednesday, January 13, 2010

Taman Sri Wang Fasa II

Salam, pernah dengar orang bercakap pasal saat dan suasana yang baik itu sememangnya ada di sisi kita. Tapi tak sangka pemandangan Arau waktu senja boleh tahan.


e410 + Lewat Senja Lepas Basuh Kereta

Penang

Salam, walaupun dah dekat 7 tahun bermastautin di bahagian utara tanah air, tapi boleh dikira dengan jari tangan kanan sahaja berapa kali saya menjejakkan kaki ke Pulau Pinang, maksud saya pulau. Pertama kali juga saya melepakkan diri di pusat membeli belah yang lebih besar dari Mid Valley. Namun, Penang tetap Penang, ia tidak akan serupa dengan KL. Tapi pembawaan masyarakat ada persamaan sedikit serba serbi

Kehidupan baru dengan suasana baru semester ini agak menjadikan jadual asal hidup belajar di Perlis ini perlu dirombak, macam saya cakapkan tempoh hari, mesti bekerja dengan lebih kuat. Semangat baru dah ditiupkan berkali-kali.

Kedai gambar dekat Kangar ini pengimbas Noritsu Kokki sudah rosak, baru hari ini juruteknik datang untuk baiki, agaknya esok atau lusa filem saya boleh dicuci dan diimbas. Apa yang saya suka Perlis ini adalah kebanyakkan kos sara hidup memang sangat murah, bayangkan cuci filem termasuk imbas dan salin ke CD hanya RM8.00, 300x300dpi.

Friday, January 1, 2010

2010, Strategi Baru


1) Saya tak pernah memanggil kamera saya untuk sesi pornografi, jadi tahun ini saya masukkan mereka sekali, semakin hari mereka semakin serasi dengan saya. Ada sembilan stok filem saya untuk 2010, rasanya cukuplah filem-filem ini untuk saya gunakan selama enam bulan di utara nanti, lagipun di sana masih ada bekalan Centuria 200 berharga RM5 sekotak. Tahun ini saya akan cuba perbaiki apa yang saya masih kurang, terutamanya seni penglihatan perlu diasah lagi.

2) Tahun ini pelajaran saya semakin sukar walaupun jam kredit semakin sikit. Sebabkan tahun ini sudah tidak tinggal di kolej lagi, maka strategi lama saya sudah rombak. Saya akan memberikan tumpuan yang lebih dalam pelajaran dengan isian semangat yang sangat berkobar-kobar yang saya cipta sendiri dalam kepala ini. Walau subjek yang melibatkan kira-kira saya memang lambat untuk faham, tapi saya tahu cara kali ini boleh sukses, dulu pernah cuba.

3) Saya juga ingin memperluaskan pandangan alam sedia ada, berfikir di luar kotak dan menjadi manusia yang lebih baik kepada makhluk lain yang ada di bumi ini.

4) Saya tahu, kadangkala lambat ataupun tidak menjadi perancangan ini, tapi saya hanya seorang hamba kepada Khaliq saya.

5) Saya juga tahu, masa dan waktu itu memang menjadi persoalan, tapi walau lambat macam mana sekalipun, saya tak akan berhenti.

6) Selamat tahun baru, 2010. :)