Saturday, April 4, 2009

Pokok Durian Satu Analogi Permasalahan Masyarakat

Salam..

Sudah hampir berapa ketika blog ini tidak dikemaskinikan, kekangan waktu yang sangat padat saya isi dengan penumpuan terhadap pelajaran sepenuhnya yang mana sudah terang-terangan dicorakkan dengan ideologi Darwinisme yang kini dikaburi dengan dengan slogan K-Economy (Knowledge Economy) dan juga Human Capital. Struktur ini akhirnya hanya mengeluarkan robot yang tahu bekerja serta mempunyai minda yang sudah tertawan. Apa yang menjadi masalah umat hari ini, salah satu cabangnya adalah perkara ini. Walaupun perkara ini seolah-olah nampaknya kurang logik, tetapi inilah hakikatnya. Saya akan kupas sedikit demi sedikit menjelang penghabisan artikel ini.

Saya juga seperti kawan-kawan yang lain yang sebaya dengan saya, menonton televisyen, mendengar muzik, melakukan yang sama seperti rakan-rakan saya. Namun, tidak semua menyedari hakikat sebenarnya kita ini sudah terperangkap di dalam satu ruang zaman yang dicipta oleh Barat (baca:penjajah) sama ada melalui penjajahan fizikal mahupun pemikiran, walaupun sudah ada banyak sekali risalah serta buku-buku yang menyebutkan perkara ini. Pasti anda pernah terfikir, apa mungkin Barat ini terlalu kejam dan jahat sehingga mahu melenyapkan langsung acuan Islam di muka bumi Allah ini. Tetapi apa yang terjadi sekarang seperti masalah sosial, akhlak dan ekonomi adalah melalui hemat saya boleh dipusatkan puncanya pada usaha Barat ini.

Inilah apa yang disebutkan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai loss of adab yang akhirnya mengakibatkan “kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu”. Umat kini sudah terkeliru ilmunya, sudah bertukar cara perjalanan hidupnya dan lalu institusi masyarakat itu dengan sendirinya akan menghadapi masalah-masalah yang pelbagai kerana kita adalah orang Islam dan tidak mungkin Islam itu diubah kerana sifat Islam itu sendiri adalah mengubah.

Kawan-kawan, ini bukan perkara baru! Ulama' seantero dunia sudah lama pun meratapi perkara ini, sejak tahun 40-50an lagi, hubungan Makhluk dan Khaliq-nya telah sedikit-sedikit dijauhkan, caranya hanya dengan menyuntik dos-dos kekeliruan ilmu kepada umat Islam. Kita tak perlu pergi kepada yang terlalu luas skop-nya. Cukup sahaja melihat negara kita sendiri, Melayu itu sendiri kalau kita lihat sudah terkeliru dengan jati dirinya yang mana memang selama ini berpaksikan kepada Islam.

Sudah menjadi lumrah dunia, yang menang itu akan menulis sejarah. Anak-anak bangsa sehingga kini dihantar untuk belajar ke negara-negara luar untuk belajar daripada mereka yang mana ilmu itu sendiri dicorakkan dengan pemikiran Barat yang kaya dengan pemikiran darwinisme, materialisme yang menidakkan peranan Khaliq (Pencipta) itu sendiri. Suka saya katakan juga, ilmu-ilmu itu juga akhirnya malah sudah pun dibawa pulang ke sini untuk diajarkan pula kepada kita. Kepada yang tidak faham akan masalah ini, pastinya akan berada dalam keadan yang keliru meskipun mereka sendiri tidak menyedarinya.

Agak tidak logik dan radikal bukan?

Terlalu banyak natijah akibat masalah ini, daripada perkara yang paling asas dalam Islam sehinggalah masalah yang akan menjadi semakin rumit jika hendak dikupas lagi.

Dalam khutbah-khutbah pada hari Jumaat yang selalu kita dengar setiap minggu pun banyak menceritakan betapa Islam ini tidak tertegak seperti yang sepatutnya. Umat tidak bersatu, umat berpecah belah, terlalu banyak masalah. Tetapi bagaimana kita mahu menanganinya jika umat itu sendiri tidak faham apakah punca asas yang menjadi penyebab kepada masalah ini?

Mahu mewujudkan negara Islam? Nanti dahulu.

Perbincangan empat mata saya dengan Cikgu Zamri daripada MRSM Berseri dan murabbi saya dalam ilmu tauhid iaitu Prof. Aisya Nudin tempoh hari amat membuka minda saya dan menjadikan diri yang amat mentah ini lebih faham akan kekeliruan ini.

“Mana mungkin pokok durian itu mampu mengeluarkan buah epal”

Dan “Islam itu kini umpama hanyalah hiasan-hiasan sahaja seperti lampu lip lap pada pokok-pokok di Dataran Merdeka” adalah analogi mudah bagi perkara ini.

Kita kini sudah dan telah pun dicorakkan dari dasar lagi dengan struktur ilmu yang dikelirukan oleh penjajah barat. Kini juga ia masih berjalan di institusi-intsitusi ilmu khasnya IPTA/IPTS. Ilmu agama dan ilmu sains itu dipisahkan sama sekali dan kini jurangnya semakin besar. Hampir boleh dikatakan ramai ulama' yang lahir pada hari ini tidak boleh mengusai ilmu sains dan matematik dengan baik dan begitu juga sebaliknya.Lalu lahir gejala di mana kedua-dua bidang ilmu ini menuruti haluan masing-masing hatta ilmu sains terlepas sama sekali daripada panduan dan tujuan keagamaan lalu tertumpu seratus peratus kepada tujuan kebendaan sekular tajaan barat.


Jika anda fahamkan betul perenggan di atas, mungkin boleh menjadi jawapan mudah bagi pergeseran politik negara kita kini. Betul tak?

Jadi mana mungkin ilmu 'aqlliyah itu mampu berkhidmat kepada ilmu naqlliyah dengan baik dan betul. Oleh itu juga, mana mungkin Islam mampu tertegak seperti waktu kegemilangannya dahulu.

Kita sudah terkeliru.

Saya memandang peranan penting ini perlu didokong dengan tegas dan jitu oleh kita iaitu golongan mahasiswa, kerana bagi saya golongan mahasiswa adalah yang paling dekat dengan masalah ini, golongan ini jugalah yang menjadi asalan kepada kekeliruan itu. Golongan ini juga boleh dikatakan sudah mencapai tahap matang untuk berfikir perihal ini.

Jadi siapa dalam mahasiswa itu yang mesti mengorak langkah? Badan Dakwah atau Majlis Perwakilan Pelajar?

Kadangkala kita sibuk dengan perselisihan pendapat yang sebahagian besarnya dicerminkan oleh masalah politikus negara. Kita juga terlupa atau mungkin tidak tahu pun akan tanggungjawab utama ini untuk menyedarkan masyarakat. Tugas ini bukanlah hanya digalas oleh badan bukan kerajaan Islam sahaja tetapi mahasiswa itu sendiri. Perlu ada kesedaran yeng mesti ditanamkan dalam pemikiran masyarakat. Nah, siapa yang perlu mulakan? Kitalah.

Kepada kumpulan jemaah dakwah di kampus-kampus yang rajin menganjurkan usrah, disamping menekankan aspek aqidah serta tauhid, dan juga kadangkala berbicara perihal politik murahan. Strukturkan semula cara penyampaian, fahamkan masalah umat ini. Kita perlu melakukan “culture jamming” terhadap pemikiran umat.

Berapa ramai antara naquib/ah yang mengepalai usrah itu mampu membicarakan perihal ekonomi, perihal pemikiran kritikal disamping ilmu agama yang boleh membuka minda anak-anak buahnya? Nampak bukan jurangnya.

Hakikatnya ramai antara kita tidak memiliki ‘alat’ (tools) yang secukupnya untuk menghadapi cabaran kehidupan ini, sepertimana dakwaan Dorothy Sayers. Mereka seumpama askar-askar yang diarahkan berperang, tetapi tidak dilengkapi senjata. Mereka bernasib baik berjaya sekali, tidak bermakna akan berjaya selepas itu.

Ramai juga antara kita kini sudah menjadi mangsa kepada kekeliruan ini. Belajar sahaja bidang ekonomi, politik dan sains tetapi tidak mampu berfikir dengan betul akan masalah umat ini. Kegilaan kita umumnya hanyalah kepada Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) atau dalam “English”nya Cumulative Grade Pointer Average (CGPA), dan mengejar peluang-peluang pekerjaan yang akan memberikan pulangan gaji yang tinggi. Inilah apa yang dikatakan struktur pendidikan yang dicorakkan kapitalis. Hanya diajar untuk menghafal dan faham sedikit, tetapi tidak untuk berfikir.

Seperti kata Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tujuan mutlak bagi pengakhiran mempelajari ilmu itu adalah al-haqq (the truth and reality).

Bukan saya membelakangkan pendidikan, apa kuasa saya kerana dunia kini memang sudah dicorakkan sebegitu, jadi mahu tak mahu saya mesti mengikut oder dunia ini. Tetapi bagi saya, gemilang dalam sistem bercorak kapitalis ini boleh kita jadikan sebagai alat dalam usaha menegakkan Islam itu kembali pada tempatnya. Mungkin Islam itu tidak akan tertegak dalam hayat kita, tetapi saya mengajak anda semua supaya mula bergerak atas kesedaran ini untuk menyampaikan perihal akar masalah umat ini.

Sebenarnya sudah ada yang bergerak untuk melaksanakannya, tetapi kita perlu ramai lagi.

Apa kata anda?

5 comments:

Jom Linux said...

aikk...tulis panjang ba'ang. luahkan perasaan ek? eh. nnti kalu kitaorg pi tempat saufi ko leh pi ke? hehe...

MakLaN said...

bila dah jadi pelajar jurusan perniagaan ni baharulah mata terbuka dengan isu2 begini.

Anonymous said...

salam..
keegoaan yang terlalu tinggi kerap kali membutakan kita. dalam kita mengejar ilmu Allah yang tidak habis2 ini, kadang kala menjadikan kita berasa seperti ditahap yang lebih tinggi daripada orang lain.. memikirkan kitalah yang betul kerana ketinggian ilmu kita perlu dihakis perlu dihakis agar musibah yang tidak dingini dapat dibenteng daripada terjadi...
..wawAllahhualam..

ba'ang said...

Salam...

terima kasih atas komen-komen yang memberikan satu pandangan alam yg berbeza.

memang kdgkala perbezaan budaya ilmu itu akan sedikit sebanyak boleh membangkitkan rasa riak dan ditambah lg dgn hasutan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia.

namun begitu, ini apa yang saya fikirkan, dan ini juga apa yang org-org lain yang tahu itu memikirkan. Bagi saya, sebnyk2nya saya akan kongsi perkara yang saya tahu ini dengan orang lain. Semua orang perlu tahu perkara ini dan disini tidak timbul pun perasaan ingin menolak jemaah-jemaah yang lain.

yang utama itu adalah tujuannya yang saya pasti adalah sama.

modus operandi kadangkala berbeza. insya allah lepas ini saya akan tulis berkenaan stage-stage yg perlu kita jaga.

nuurhakeem said...

alhamdulillah. dah baca penuh.
=]

Sebagai ringkasan:

1. manusia hendaklah sedar tujuan utama dia diciptakan di dunia.--> sebagai khalifah Allah

2. Islam itu syumul, lengkap dan melengkapi. islam tidak pernah memisahkan apa jua aspek kehidupan daripadanya. Ini berbeza dgn faham sekularisme barat yang berasal dari penentangan gereja barat terhadap kebenaran fakta-fakta sains yang ditemukan oleh para saintis terdahulu.

3.Kejarlah akhirat tapi jangan lupakan dunia.

4.Amalkan islam secara bersungguh, jgn pernah berhenti menuntut dan mengamalkan ilmu.

5.Jadilah seorang muslim yang menguasai ilmu2 asas islam dgn baik(amalkan!) dan pada masa yang sama tampil dengan pengetahuan mendalam tentang beberapa bidang/isu masyarakat hari ini.

6. Pekalah terhadap permasalahan umat. Pembaikan bermula dari diri kita!