Wednesday, March 18, 2009

PPSMI

Salam...pada 12 Mac yang lepas, rakan-rakan yang muda setahun daripada saya telahpun menerima apa yang mereka usahakan selama 2 tahun ketika di bangku sekolah menengah mereka. Keputusan yang pelbagai mengikut individu mencerminkan usaha masing-masing. Namun bukan itu yang saya ingin bawakan dalam tulisan kali ini.



Suatu perbincangan yang tidak formal telah berlaku antara saya dan pensyarah CiTU sewaktu kelas Pemikiran dan Tamadun Islam tengah hari tadi. Sesuatu telah menarik perhatian saya, ianya lain dan tak bukan adalah isu PPSMI yang sememangnya menjadi suatu isu negara kini. Saya, adalah hasil keluaran pertama daripada penerapan sistem ini yang bermula pada tahun 2003. Bagi diri saya, ia bukanlah satu masalah yang besar, kerana Alhamdulillah, tuhan telah memberikan saya kefahaman yang cepat dalam memahami Bahasa Inggeris. Tapi bagaimana pula yang tidak?

Produk Hasilan PPSMI

Hasil 12 Mac tempoh hari boleh dijadikan sebagai kayu pengukur sejauh mana sistem ini berjaya mengubah corak pemikiran pelajar Melayu khususnya tentang Bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Ya, saya sudah membaca blog Tun Mahathir berkenaan visi dan misi beliau dan mengapa beliau ingin anak-anak tempatan ini mampu memahami ilmu Sains dan Matematik dalam konteks dan istilah Bahasa Inggeris. Jawapannya mudah, bolehlah saya ringkaskan di sini ia adalah supaya suatu hari nanti di mana sudah ramai anak-anak tempatan yang betul-betul faham ilmu ini dapat menterjemah ilmu tersebut dalam Bahasa Kebangsaan. Tapi suatu hari itu bila? Itu bagi saya adalah kesan positif yang akan kita kecap dalam jangka masa yang panjang.

Mari kita tengok kesan dan hasil jangka pendeknya. Peratusan menceritakan kepada kita bahawa bilangan pelajar yang menjawab kertas soalan SPM dalam Bahasa Inggeris meningkat saban tahun. Jikalau kita bertanya kepada pelajar-pelajar cemerlang SPM yang lepas, adakah mereka menjawab dalam kertas soalan itu Bahasa Kebangsaan, sudah pasti saya beri jaminan mereka akan menjawab TIDAK.

Mari kita lihat pula mengapa TIDAK, dalam situasi sekarang, apabila sudah wujud satu generasi yang semacam saya (baca: generasi penuh PPSMI) maka secara tidak langsungnya Bahasa Melayu itu sudah hilang statusnya sebagai bahasa pengantara ilmu di institusi ilmu, walaupun subjek Sejarah, Pendidikan Islam dan sebagainya masih diajar dalam Bahasa Melayu namun dalam subjek-subjek kritikal misalnya (baca: subjek elektif) Bahasa Melayu sudah tidak ada peranannya lagi, cuma ia akan berlaku atas inisiatif guru yang mahu menjelaskan apa maksud istilah tertentu dalam Bahasa Melayu.

Mengapa pelajar yang saya sebutkan tadi menjawab dalam Bahasa Inggeris? Ini kerana, dalam Bahasa Melayu tidak ada langsung istilah yang pelajar tadi faham dan dirasakan sesuai untuk menerangkan sesuatu situasi. Jika dan hanya jika pelajar tadi menjawab dalam Bahasa Melayu, mungkin dia tidak akan memperoleh markah penuh bagi sesuatu soalan (baca: ditanda oleh pemeriksa). Perkara ini berbeza pula dengan penggunaan Bahasa Inggeris yang mana mereka telah diajar untuk memahami sesuatu keadaan atau situasi (baca: subjek Sains dan Matematik) dalam bahasa tersebut, jadi secara tidak langsung fikiran mereka akan dapat mencari satu istilah yang lebih sesuai dan tepat untuk menerangkan sesuatu situasi tersebut.

Tanyalah pada saya atau pelajar-pelajar yang sudah menjadi generasi penuh perlaksanaan PPSMI. Bolehkah kami memberikan maksud istilah-istilah Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu?

Cuba tanyakan maksud istilah, Convex Lens, Concave Lens dan Total Internal Reflection dalam Bahasa Melayu.

Atau mungkin cuba tanyakan istilah Simple Harmonic Motion atau mugkin tolong tanyakan istilah Equipartition of Energies kepada mereka. Bolehkah anda peroleh maksudnya?

Jepun dan Bahasanya

Saya mempelajari Bahasa Jepun lebih dari 3 tahun lamanya ketika di MCKK, ketika itu bahasa tersebut menjadi bahasa ketiga saya selepas daripada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Mengenali Bahasa Jepun, memberikan saya satu pandangan mengapa bangsa Jepun itu sendiri berjaya seperti hari ini setelah mengalami beberapa revolusi di samping budaya orangnya yang sentiasa bersemangat setiap hari.

Boleh saya katakan Bahasa Jepun yang sangat dinamik dan mesra ilmu ini mempunyai banyak kata pinjaman tertutamanya dalam konteks ilmu Sains dan Matematik. Karakter tulisan Katakana adalah satu tulisan yang banyak menjadi alat untuk mengubah sesuatu istilah bahasa lain ke dalam bahasa Jepun. Contohnya perkataan Supermarket dalam Bahasa Inggeris telah di”Jepun”kan dan menjadi su-pa-ma-ket-to dan Play Station telah diubah menjadi pu-ra-sta-i-syo-n. Kalau anda pernah menonton filem-filem Jepun pasti anda akan terjumpa istilah-istilah pinjaman ini. (baca: sekadar beberapa contoh, terdapat banyak lagi terutamanya dalam istilah ilmu)

Jadi, di sini kita boleh melihat betapa anjalnya Bahasa Jepun yang mampu berubah mengikut keperluan rakyatnya dan ilmu itu sendiri.

Faktor Parti Pembangkang



Media Massa kini yang rata-ratanya dibayangi oleh kerajaan selalu memaparkan maklumat-maklumat yang kadangkala mengelirukan masyarakat. Perkara sebenar tentang perarakan PPSMI itu sebenarnya bagi yang betul-betul mengikuti perkembangannya bukanlah didalangi parti-parti politik. Jauh sekali bersifat partisan. Parti-parti politik itu muncul hanya pada akhir-akhir fasa perarakan tempoh hari. Ini perlu diperbetulkan agar masyarakat tidak terkeliru, inilah akibatnya jika hanya mahu mengejar kuasa dan kedudukan tanpa membumikan perjuangan rakyat yang hak.

---------***----------

Saya sendiri masih belajar dalam bidang kejuruteraan yang secara besarnya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai modus pengajarannya. Namun, apa kuasa saya untuk mengubah. Tetapi harapan saya dengan tertulisnya artikel ini, maka dapatlah menggerakkan minda rakyat agar boleh berfikir tentang isu ini dari segi aspek yang berlainan.

Perlaksanaan PPSMI mempunyai baik dan buruknya, mungkin perlu dirombak sistemnya agar lebih menguntungkan bahasa kita sendiri di masa hadapan. Bagus untuk menjadi bangsa yang mempunyai bahasa yang berstatus ilmu seperti bahasa ini pada satu ketika dahulu (baca: Melaka), namun kegopohan kita kadangkala memberikan kesan jangka panjang yang pasti susah untuk diubah kelak.
Wallahu'alam.

*kerja rumah anda
DISINI, SINI dan SINI

6 comments:

Ahmad Badri Alwi said...

tahniah. artikel dan pandangan yang baik.

Hamzah said...

Bahasa vs Kemajuan?!

Isu PPSMI menzahirkan bahwa implementasi satu2 dasar perlulh kembali kepada ahlinya (pakar2) dan tidak meletakkannya pada mereka yang hanya mahu meraih populariti dan kepentingan segelintir puak2 tertentu,

Sesungguhnya retorik PPSMI ini akan pasti terus menjadi duri dlm daging.Persoalan sebegini memerlukan golongan mahasiswa yg berani menyuarakan hasrat scr lantang.Bukan meneguk air yg keruh, namun cuma mempertahankn jati diri.Takut kelak Melayu hilang di dunia.

Idea faiz cukup bernas untuk diketengahkan dek isu hangat yg belum pudar,Tahniah Faiz,Teruskn menulis...

Jom Linux said...

Bagus2..sprti biasa. ba'ang ni suka masuk ide2 dlm falsafah nie...

spark acap said...

ppsmi, tak abeh2 isu ni huhu

Adnan Naim said...

Tahniah saudara..satu pengamatan yg menarik dari seorang yg dihasilkan oleh PPSMI itu. Saya sendiri sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah menengah kerajaan sependapat dgn saudara. Keep up the good work.

Saya akan post kan artikel ini di blog saya.
http://cikguadnan.blogspot.com/

ba'ang said...

Terima kasih Cikgu