Sunday, December 27, 2009

Dari Hujung ke Hujung


e410 + Little India + Jalan Kastam + serta sedikit Lightroom

Wednesday, December 23, 2009

Memang Saya Minat Jadi Formen Masa Kecil

Salam, membedah sebuah kamera lama memang memeningkan, tapi hasilnya amat memuaskan hati saya.

1) Viewfinder dapat dibersihkan.
2) Minyak gris disapu semula pada bahagian yang berkarat.
3) Lensa pun dapat dibersihkan dengan bantuan perfume dan tisu halus.
4) Masa yang diambil 6 petang - 1 pagi.
5) Menjumpai masalah utama "shutter" tidak berfungsi = spring mekanisme rumit putus.
6) Mengetahui cara-cara asas membuka sebuah rangefinder tipikal.
7) Menjumpai manual-manual lama pembaikian kamera di internet, Rollei 35, OM-1n.
9) Terasa seperti ingin buka kedai membaiki kamera secara kecil-kecilan
10) Dapat memenuhkan masa terluang.
11) Dapat memenuhkan masa lapang.
12) Kamera disimpan sebagai hiasan/hantar pada Heng dekat Pertama Kompleks untuk cari spring baru +- RM100, mestilah.

Wednesday, December 16, 2009

Kami Menggunakan Siri OM

OM1n + DNP 200 + Kotak A4 + Lampu Meja + Putra Pasar Seni + Amerhadi Azmi

Thursday, December 10, 2009

Jauh Di Bawah Sana, Semuanya Sama

Salam, jarang saya menceritakan apa yang saya selalu hadapi secara terperinci dalam blog ini, memang perangai saya susah untuk berkongsi apa yang ada dalam fikiran saya, terutamanya yang bersifat terlalu peribadi, sama ada dengan teman rapat ataupun keluarga saya sendiri, cuma kadang-kadang bila ia terlalu perlu saya akan bercerita. Secara biasanya, saya jarang menulis dengan tumpuan yang penuh, tengoklah, selalunya artikel-artikel yang lepas kalau bersifat menceritakan diri saya pun, kabur-kabur sekali plot ceritanya. Cuma, kalau ada sesuatu yang berlaku, saya pasti akan menulis.

Sudah agak lama saya meninggalkan bangku persekolahan dan berada di alam universiti, yang mana saya perlu untuk mulakan hampir semuanya dari kosong. 2008 & 2009, tahun awal saya bermula semula. Kadang-kadang perangai lama saya masih pegang dan amalkan lagi, saya rindu dengan suasana dahulu, walaupun dah hampir 2 tahun. Bila ada sesuatu yang bermain dalam fikiran, dahulu selalunya saya akan berkongsi dengan beberapa rakan baik saya. Sungguh, demi tuhan, saya dah anggap mereka seperti adik beradik saya, jauh sekali bagi saya untuk berkongsi perkara ini dengan keluarga saya, mungkin agak lama saya jauh dengan mereka, mungkin juga gaya pembawaan keluarga saya yang berbeza. Tapi itu semua saya tidak kisahkan sangat, asalkan hubungan kami masih lagi utuh.

Kadangkala, bila kena masanya, bangga itu rasa dalam diri. Tapi jalan kini kurang sama dengan yang dulu. Tapi saya berusaha.

Jalan masih jauh dan pelbagai, tengoklah.

KKKL + Hari-Hari Yang Di Ingati

Jam 3:30 Pagi

Salam..insomnia lagi. Ish, saya rasa bukanlah. Mungkin jam biologi saya dah diatur semula selepas berada di rumah untuk satu masa yang lama. Cuti kali ini berbaki lebih kurang dalam 20 hari sahaja. Semester depan memang sesuatu yang agak kabur sedikit walau saya sudah merangka beberapa perancangan. Yalah, semester lepas bukannya senang sangat, saya tak salahkan orang lain, cuma cara yang betul saya lambat jumpa.

Semalam, sebenarnya bukan semalam, kelmarin. Ha'ah, sesiapa yang menduduki peperiksaan SPM aliran sains tulen sudah pun tamat jangka masa persekolahan mereka. Dulu saya pun merasai perkara yang sama, segar lagi dalam memori otak saya ini. Segar dalam ertikata saya ingat satu persatu plot pada hari itu.

Semalam juga, saya gagal dalam eksperimen pertama mencuci filem sendiri. Tepat, saya tahu semuanya saya campur dan buat sendiri, tapi dengan panduan. Cuma saya rasa kandungan Kaffien dalam kopi yang saya gunakan tak cukup kuat untuk melunturkan emulsi filem dalam masa 20 minit. Oh ya, tangki perkembangan saya sememangnya boleh dibanggakan. Langkah seterusnya saya isi semula Mju II saya dengan DNP 200, tapi bukan untuk eksperimen kedua. Tunggulah lagi bila saya ada keinginan untuk lakukannya, kali ini dengan kopi yang berbeza. Semalam saya tengok serbuk Ilford ID-11 hanya RM25.00.


k610i + fungsi panorama + pembentangan kisah dari Al-Quran

Wednesday, December 9, 2009

Jam 3:45 Pagi

Ada mata pandang.
Ada telinga dengar.
Ada mulut diam.
Ada tangan garu.
Ada kaki goyang.

e410 + Sedikit lightroom + Insomnia & Pita Perekat

Tuesday, December 8, 2009

Caffenol-C Cubaan Pertama

GAGAL
****************

Isu yang diketahui


1) Masa perkembangan tidak memadai (20 minit) bagi caffenol-c bertindak balas pada lapisan emulsi filem (pasca percubaan : filem yang tidak berjaya diproses direndam dan dalam masa 2 jam, emulsi filem hilang)

2) Kopi cap Hang Tuah RM1.80 tidak mempunyai kandungan caffien yang tinggi.

Tangki Perkembangan - Lakukan Ia Sendiri Bhg 1

Salam, ini percubaaan kali pertama untuk meniru rekabentuk Tangki Perkembangan ( Developing Tank) komersial setelah perasaan kedekut dan ingin tahu yang membara. Secara teori dan praktikalnya adalah sama, dan untuk gelungan filem, saya menolak tepi cara Patterson (gelungan plastik) dan Kinderman (gelungan besi keluli) atas sebab percubaan untuk meniru sistem mereka terlalu rumit. Sila Rujuk SINI. Jadi sebagai alternatif lain, saya terjumpa dengan satu cara yang agak lama, ianya bukan Minox, tetapi cara Ravioli, pada mula nya saya terjumpa cara ini di laman web Alibaba. Sebuah syarikat di China masih lagi menghasilkan tangki seperti ini, malang sekali ia hanya boleh dibeli dengan pesanan minimum 100 biji.

Untuk lihat tangki jenis Ravioli sila lihat di sini:
http://www.flickr.com/photos/luketrash/100347598/
http://www.alibaba.com/product-gs/51886809/Developing_tank/showimage.html

Ini adalah prototaip pertama, dan saya akan ujilari prototaip ini malam esok selepas selesai proses semburan cat (lut cahaya). Oh ya, dengan mematuhi semangat kedekut dan berjimat, saya akan menggunakan campuran Cafenol-C sebagai bahan kimia untuk memproses filem, cuka masakan yang dicairkan sebagai "Stop Bath" dan air garam tumpat sebagai "fixer" serta air sabun untuk menggantikan "Photo-Flo".

Jika ujilari pertama ini jadi, projek ini akan saya dokumentasikan secara tertib.

Saturday, November 28, 2009

Thursday, November 26, 2009

Wednesday, November 25, 2009

Siri Elektronik



alat-alat elektronik di rumah + f.zuiko s 50mm f/1.8 + cuti yang mendebarkan

Sunday, November 15, 2009

Tuesday, November 10, 2009

Nampak tak? Nampakkkk



Ini dari Utusan 10/11/2009







Ini pula dari The Star 10/11/2009



Sengihlah.

Saturday, November 7, 2009

Saya Rasa Dia Tertekan - Fort Hood



Maj. Nidal Malik Hassan, mungkin dia sudah lama tertekan dengan persoalan yang bermain dalam fikirannya sendiri. Mengapa mereka memerangi kepercayaan aku sendiri, sedangkan Islam itu bukan keganasan. Atau mungkin, aku seorang Islam, dan aku seorang tentera US. Atau mungkin, ada tangan ghaib lain yang sengaja memotivasi dia supaya melakukan perkara ini. Ya, mungkin pihak yang mencipta terma Islamophobia.

Kerja Rumah Anda
DISINI
DISINI
& Surat Khabar 7/11/2009

Thursday, November 5, 2009

Gulungan Ketiga - Siap!




Salam, disamping saya menghadapi minggu peperiksaan yang maha dahsyat ini, sedar tak sedar, dah siap pun gulungan ketiga dari OM-1n saya. Layankan sahaja. Untuk lebih gambar, apa lagi, senang-senang lawatlah flickr saya DISINI

Tuesday, November 3, 2009

Masa Kebawah

imej sendiri + kafe siber pentium 3

Salam, ya, semua orang menjangka saya akan menulis entri kali ini. Kertas Soil Mechanics memang merisaukan fikiran, dahulu waktu saya di semester satu, ada juga entri yang bunyinya lebih kurang macam ini Macammana. Tapi biarlah, ada masa dalam hidup ini, saya betul-betul berada di bawah, saya rasa ini bukan masanya lagi.

Untuk memilih jalan pada simpang kali ini memang susah rasanya, saya akan tunggu dahulu keputusan untuk semester ini, selepas itu pasti akan berlaku rombakan kabinet dalaman.

Buat masa ini, bujur lalu melintang patahlah dahulu, nanti lepas ini baru fikir masak-masak.

Sunday, November 1, 2009

Menekan Dengan Kuat

Malam Bulan Terang + N5300(Night Mode On)

Salam, saya cuba menekan dengan lebih kuat sekarang ini. Saya cuba.
Habis minggu ini dan minggu depan, saya ada banyak rancangan waktu cuti ini. Kali ini ia dalam bentuk rancangan masa panjang. Sekarang pun masih merangka-rangka lagi jalan kerjanya. Tapi yang pasti, rancangan ini memang padu (baca: padulah sangat).

Wednesday, October 28, 2009

Terluang

Masa Terluang Minggu Ini

1) Belajar
2) Belajar
3) Facebook
4) Kamera
5) Kamera
6) Kamera
7) Gitar

Thursday, October 22, 2009

Depan Sedikit

Sabtu
Ujian Basic Soil Mechanics & Computer Problems Solving by C++

Ahad
Saya nak beli almari kecil, toto, meja belajar, lampu belajar, cermin untuk bilik baru saya. Rumah sewa saya ini saya nak ubah sedikit pendawaian elektrikya, semestinya bukan yang rumit. Ringkas sahaja. Seboleh-bolehnya nak disiapkan penghujung bulan ini, semester baru bukannya lama lagi.

--------------------
pasca skrip : Saya sekarang cuba menyeimbangkan apa yang tak seimbang lagi dalam hidup ini. Cikgu Matematik Tambahan saya dahulu pernah mengungkapkan ayat macam ini dalam kelas 3 tahun yang lepas, ia merujuk kepada seorang rakan baik saya yang tahap matematiknya lebih kurang saya juga, lebih kurangnya beginilah "Cuba kamu tengok Su**n, kalau dia bukan seorang presiden batch, apa lagi yang dia ada kalau Addmath pun failed". Ya, saya cuba lebihkan kelebihan yang saya ada berbanding orang lain dan saya percaya juga orang lain pun cuba melakukan perkara yang sama. Untuk menyeimbangkan ekosistem kehidupan. Disamping memalarkan kemampuan sedia ada. Simpanlah kelemahan itu.

Friday, October 16, 2009

Ah Ha, Gulungan Kedua




Kodak Gold 200 luput 5 bulan + diimbas oleh mesin NORITSU KOKI QSS-32_33 pada 400dpi

Salam, setelah berusaha untuk memahaminya, inilah hasil gulungan kedua saya, yang pertama dulu tak jadi. Untuk beberapa lebihan gambar lihat sahaja pada Tumblr saya.


Sunday, October 11, 2009

Kembali Semula

Salam, selasa depan, suatu "comeback" akan berlaku dalam sejarah muzik hidup saya. Ini pun sebab kawan jemput bermain untuk majlis makan malam fakulti mereka. Kalau tidak, lambat lagilah agaknya.

Infra Merah - The Times
Suratan Atau Kebetulan - Premelodic
Ternyata - Estrella

Sudah hampir dua tahun saya tak bermain secara langsung, dah masa agaknya nak kikis karat pada jari ni.

Thursday, October 8, 2009

Projek Kromamono


Salam, baru-baru ini saya terfikir akan idea yang telah lama melalui fikiran saya tahun lepas. Kamera telefon bimbit, ya, kamera 1.3MP itulah. Saya ambil keputusan untuk dirikan satu lagi laman mini untuk saya muatkan gambar-gambar dari telefon bimbit saya. Cuma, kali ini ia tidak dalam tona berwarna, semuanya saya aturkankan kedalam hitam dan putih.

Di samping saya mengambil gambar yang berciri penuh yang saya muatkan di Tumblr, dalam web mini ini saya khususkan gambar apa yang berlaku sehari-hari dalam hidup saya. Saya cuba buatkannya seringkas yang boleh.

Saya namakannya sebagai Projek Kromamono

Dah lama dah saya beli telefon ni, eh, seronok jugak ya kamera terbina dalam ini.

Tuesday, September 29, 2009

Ujian Peluru Berpandu Iran

Salam, saya nampak Iran sudah menggunakan mekanisme baru bagi tujahan peluru berpandu mereka. Kalau anda perasan, sekarang peluru berpandu Iran akan bergerak dalam keadaan berpusing (tujahan roket berbentuk bulat pada badan roket tersebut). Maju!

Sunday, September 27, 2009

Seterusnya

Salam, hari ini saya bawa bekal dari rumah, ada kuih raya, rendang dan puding. Semua ini saya bawa dalam perjalanan menaiki tren KTM malam tadi. Sekembali ke Perlis kali ini juga, saya bawa bersama juga kamera saya. Sebelum ini tidak berani pun untuk bawa, takut dengan pencuri yang ada tangan panjang.

Rata-ratanya semalam memang sesak sekali, di stesyen mana-mana pun, mendengar cerita kawan saya yang baru pulang dari Johor. Biasalah, apabila ramai orang membuat perkara serentak, lebuhraya lebihlah lagi.

Hidup semakin mencabar saban hari, masalah juga tidak henti-henti datang. Orang kata, kalau tak ada masalah, bukan hidup namanya.

Peperiksaan akhir sebulan sahaja dari sekarang. Persiapan macam biasalah. Cuma semester ini saya rasakan sedikit keras daripada yang sebelumnya, jadi minggu peperiksaan yang bergelora sudah dijangka.

Suasana raya masih berada disekeliling, saya pun masih dalam suasana itu, tetapi kurang sedikit, mungkin zaman keseronokan kanak-kanak beraya itu semakin pudar, ya lah, umur sudah hampir dengan dua dekad.

Hmmm, puding dengan custard ini sedaplah.

Friday, September 25, 2009

PBB




"hormati maruah sejagat, dan carilah jalan untuk membina dunia yang selamat"


"tidak boleh membiayai ekonomi dunia dengan mencetak kertas yang tidak bernilai"


"zaman kapitalis untuk menguasai dunia atas nama globalisasi sudah pun tamat"


"masa untuk ini sudah tamat, kepada mereka yang menjadikan kebebasan dan demokrasi sebagai laungan tetapi pada dasarnya, merekalah yang mengkhianati prinsip ini"

Thursday, September 17, 2009

Balik Kampung!!


Salam..sudah dekat hampir sebulan saya berpuasa di Perlis, macam saya katakan tempoh hari, ini kali kedua saya berpuasa di sini. Macam biasa dikelilingi kawan-kawan, adakalanya masa berbuka itu seronok dan ada pula sebaliknya.

Ramai yang balik awal kali ini, jadi yang tinggal pada hari Khamis (hari ini) hanyalah saki baki sahaja, saya tidak terkecuali. Tiket yang saya beli ini pun, umurnya sudah melebihi satu bulan. Memang menjadi tabiat saya, kalau perjalanan pulang ke kampung pasti saya akan gunakan khidmat KTM. Boleh dikatakan sudah agak lama saya menjadi pelanggan tetap KTM, tak silap saya ini adalah tahun ke lima saya menggunakan khidmat mereka untuk pulang sejak saya belajar di Kuala Kangsar dahulu.

Barang sudah dimasukkan ke dalam beg, baju-baju kotor juga telah dibasuh, meja sudah dikemas. Ucapan hari raya dan maaf juga telah lali di mulut ini. Biasalah, setahun sekali.

Cuti raya kali ini memang saya bercadang untuk tidak membawa pulang banyak buku, hanya fail kalkulus dan sebuah buku fiksyen karya Andy McNab yang saya sumbatkan dalam beg sandang ini. Laptop memang menjadi nyawa saya.

Esok pagi-pagi selepas sampai di Rawang, saya akan pulang ke rumah dahulu untuk bersahur, dan selepas itu akan terus ke Jalan TAR untuk melihat gelagat manusia di sana. Jumaat di Masjid Negara dan terus ke Kelana Jaya untuk bertemu dengan Pakcik Dinodino, ada urusan.

Raya kali ini saya akan beraya di Bagan Datoh, Perak dan selepas itu saya kan beraya pula di Taiping. Memang menjadi lumrah keluarga saya untuk pulang beraya dalam turutan bergilir. Tahun ini kampung ayah saya.

Bulan Ramadhan masih berbaki 2 hari lagi, masih sempat bertarawikh di masjid rumah saya.

Suasana raya semakin dirasai. Agaknya rumah saya ada lampu lip-lap-lip-lap tak tahun ini?


Sunday, September 6, 2009

Jika dan Hanya Jika


Salam, berhenti sekejap buat latihan kalkulus ini. Ada benda yang terlintas dalam kepala. Saya masih ingat lagi sewaktu berumur lebih kurang lingkungan 4-8 tahun (zaman kanak-kanak), saya selalu termenung memikirkan perihal pergerakan takdir dan keadaan sekeliling. Jika tak silap saya, semua ini terjadi sebab dahulu saya selalu merasakan perasaan Déjà Vu (klik disini), yang peliknya sekarang sudah jarang sekali saya dapat perasaan itu.

Mengenai perihal jika dan hanya jika itu, pada zaman kanak-kanak dahulu saya membayangkan pergerakan manusia di dunia ini semuanya berkaitan antara satu sama lain. Alam sekitar pun. Seolah-olah yang satu akan mencetuskan yang satu lagi dan seterusnya sehingga diberhentikan oleh kuasa yang paling tinggi. Saya juga membayangkan, setiap satu pilihan dalam hidup ini tidak kisahlah sama ada dari sekecil-kecil keputusan, misalnya tidur, akan memberikan kepada keputusan yang lain. Begitu juga jika dipilih pula keputusan yang berbeza, maka hasil yang lain pula akan terjadi. Jadi, ia bermain dengan pilihan yang kita pilih sendiri.

Misalnya, kalau saya melakukan A hasilnya akan menjadi B, tetapi jika saya melakukan C, hasilnya mungkin B dan juga mungkin yang lain pula. Begitulah seterusnya.

Selain itu, saya juga ada terfikir jika, diundurkan masa itu kembali, dan kita ambil pilihan yang lain pula. Hasilnya akan berbeza juga, tetapi mungkin sama.

---------------------------------------------

p/s: hari ini saya menghadapi perkara ini semula, adakalanya, lebih baik diam daripada bercerita kepada orang lain. Betul, ia antara diri sendiri dan juga khaliqnya

Monday, August 31, 2009

Allah Selamatkan Kamu Negaraku!


tanah tumpah oh darahku
lima puluh dua kali ini
selamat
semoga selamat sentiasa


Saturday, August 29, 2009

Bila Berdemonstrasi Tanpa Akal

demo + kebodohan + emosi + = memalukan bangsa & agama

inilah yang terjadi kalau akal tidak diletakkan sebagai yang teratas sekali
terlajak perahu boleh diundur weiii!
tak payah kepala lembu pun mesej tu sampai laa

kerja rumah anda : BACA INI

Wednesday, August 26, 2009

1+1+1+1+1 = 5


Salam...pejam celik pejam celik dah genap 5 hari berpuasa. Ramadhan kali ini bagi saya adalah yang ke enam saya berpuasa jauh daripada keluarga di Selangor. Sejak tingkatan 1 lagi saya dah mula berpuasa dengan kawan-kawan sekeliling. Yelah, nama pun belajar di negeri yang lain, kalau dulu 5 tahun di Perak dan sekarang di Perlis pula.

Suasana puasa tahun ini bagi saya agak sama dengan tahun-tahun sebelum ini, cuma tahun ini, roh yang sangat menyeronokkan itu masih belum hadir lagi. Saya ingat lagi bulan Ramadhan tahun 2007, waktu itu tahun akhir saya di MCKK, memang paling seronok dengan kawan-kawan, dah macam adik beradik. Pergi bazaar Ramadhan di Arena Square, dahulu ketika di Kuale, bazaar Ramadhan dia sangat besar, dan yang paling saya suka beli ialah nasi ayam di sebuah gerai di situ. Tarawikh sama-sama, sahur pun sama-sama. Dekat Perlis ini, kawan yang boleh kata kamcing tu belum ada lagi, selepas ini agaknya.

Pengalaman berbuka di rumah dengan keluarga dalam hidup saya selalunya hanya akan datang apabila beberapa hari lagi nak raya. Memanglah, baru dapat cuti balik kampung, selalunya berbaki 2-3 hari sahaja. Jadilah daripada tak ada. Kan

Tadi saya berbuka dengan ikan goreng dan juga sambal kacang, air pula teh'o panas. Ringkas sahaja, tapi kenyang. Selalu di Perlis ni saya berbuka dengan kawan dari bilik hujung, seronok juga. Juadah pula beli di sekitar sini, tak sempat lagi nak melawat bazaar di Stadium Perlis, dengar katanya meriah.

Malam memang waktu tarawikh, Perlis buat 8 sahaja. Jadi sekitar jam 10.00 malam, semuanya dah selesai. Selalu selepas tarawikh, macam biasalah, buka buku.

Esok ada kuiz. Kalkulus. Ok, nak pergi tarawikh pula. Selamat berpuasa semua, semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Insya Allah

Saturday, August 15, 2009

Saya Tersenyum

Didik Pelajar Jauhi Demonstrasi Jalanan
Oleh ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Polis dan badan bukan kerajaan (NGO) diminta lebih kerap mengadakan seminar kesedaran mengenai salah laku jenayah termasuk demonstrasi jalanan kepada para pelajar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, seminar seperti itu dapat memberikan pengetahuan kepada para pelajar mengenai akibat jika mereka terlibat dalam aktiviti sedemikian.

Beliau meminta para pelajar tidak melibatkan diri dan menyertai sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, budaya demonstrasi jalanan itu tidak sihat kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang malah menyusahkan orang awam.

''Saya ingin menasihati pelajar supaya peka dengan situasi semasa dan tidak mudah terpengaruh dengan agenda pihak tertentu untuk memperlekehkan kuasa dan tugas polis serta kerajaan,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kerjaya Dalam Pasukan Polis di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur, Datuk William W.T. Lim dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat.

Dalam pada itu, Abu Seman menjelaskan, PDRM sentiasa mengalu-alukan sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak bagi memastikan negara dalam keadaan aman serta selamat.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya berharap agar program seumpama itu dapat ditingkatkan terutama melibatkan agensi kerajaan, pihak swasta dan NGO termasuk menerusi kempen-kempen Rakan Cop dan Komuniti Kepolisan.

Dipetik daripada Akhbar Utusan Malaysia Online bagi berita terkini. Mungkin anda boleh jumpa artikel ini dalam keluaran Utusan esok (16/8/2009)

Inilah Ceritanya




Olympus PEN
1959-2009

down below - johannes stankowski

Friday, August 7, 2009

Demo ISA Pada Pemikiran Saya

Salam..perasan tak? dah dua artikel lepas semuanya macam laporan. Nanti jadi blog laporan pula. Memang saya pergi ke demo ISA minggu lepas, tapi saya bukan peserta. Saya jadi pemerhati sahaja dan saya percaya ramai lagi di kawasan sama ketika itu menjadi pemerhati sahaja.

Saya jumpa ramai pelajar IPTA/S termasuk sekumpulan mahasiswa yang saya kenal dalam badan dakwah kampus ada di tempat kejadian. Tapi, saya tak nak tegurlah. Nanti pasti akan berlaku "cliche" pula. Sebolehnya saya nak elakkan "cliche". Mahasiswi pun ada juga, semua ini saya lihat daripada cara pemakaian dan gerak tubuh. Nasib baik mereka tak masuk trak FRU sekali, kalau tidak pasti banyak bicaranya nanti. Saya berkata begini kerana, ada sekali saya cuba mengambil gambar spontan sekumpulan remaja wanita lingkungan umurnya baya-baya saya juga. Tak sempat saya menekan "shutter" semuanya dah menutup muka. Mungkin mereka anggap saya ini jurufoto bagi pihak akhbar dan takut muka mereka keluar nanti. Nanti kalau keluar di dada akhbar pasti jenuh bagi mereka nak menjawab dengan Akta AUKU dan Akta 174. Mungkin juga mereka anggap saya sebagai SB (Special Branch), sebab pihak polis memang ada mata-mata yang merakamkan situasi demo ketika itu.

Bagi saya, saya tak kisah pun jika ada mahasiswa yang menyertai demo tempoh hari. Ada semangat aktivis dalam jiwa mereka. Saya suka. Namun, bagi saya untuk demo tempoh hari, sasarannya kurang tercapai. Kalau dari segi sasaran untuk menghantar memorandum kepada YDP Agong memanglah langsung tersasar tetapi apa yang saya nak sampaikan pada artikel kali ini adalah sasaran yang tersirat dalam demo itu.

Rata-ratanya hari itu adalah orang Melayu , dan ramai juga yang saya tegur di sana bercakap menggunakan loghat pantai timur (anda dapat bukan ideanya?). Susah untuk mencari kumpulan daripada rakan bangsa yang lain, bukan tidak ada langsung, ada namun hanya beberapa.

Perhimpunan BERSIH tahun lalu adalah jauh lebih baik, jadi saya katakan demo minggu lepas kurang baik sedikit. Mesej berjaya sampai tetapi dari segi pengisiannya, ideologinya amat rapuh. Slogan yang dilaungkan terang-terangan disamping anti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah anti kepada Najib, UMNO dan kerajaan. Kan?

Patutlah yang datang hanya daripada mereka sahaja. Kalau betul-betul untuk anti ISA sahaja. Pasti ramai orang lain yang turun, persetankan FRU. Ini soal ideologi dan prinsip. Kan?

Saya menyokong perhimpunan ini secara permukaannya tetapi membantah dengan cara pembawaannya. Sekian

p/s: saya jumpa seorang unit amal, dia solat asar dengan saya. muda lagi. andaian saya mungkin lepasan SPM.

Sunday, August 2, 2009

Gerakan Mansuhkan ISA - Sabtu, 1 Ogos

ISA (Internal Securiy Act) atau dalam bahasa Malaysianya ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah suatu undang-undang pencegahan awal yang telah dienakmenkan oleh kerajaan Tanah Melayu sejurus selepas negara ini mendapat kemerdekaannya daripada British pada tahun '57. Undang-undang ini membenarkan penangkapan dilakukan tanpa perbicaraan terhadap seseorang individu itu dalam suatu keadaan tertentu.

Seorang lelaki melihat sebuah trak FRU semalam

Pada 1 Ogos 2009, lebih 20,000 rakyat Malaysia telah berhimpun beramai-ramai di beberapa lokasi untuk berarak menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat kepada Yang DiPertuan Agong bagi membantah penerusan akta ini. Dilaporkan, penyokong gerakan ini telah pun mula berhimpun bermula pada jam 8 pagi lagi di kawasan-kawasan strategik seperti Pusat Beli Belah SOGO, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Padang Merbok walaupun telah banyak sekatan jalan raya telah dilakukan. Menurut sumber terdekat, penangkapan sudah pun dilakukan sejak awal jam 10 pagi lagi.

Pada jam 4 petang, orang ramai termasuk penonton yang dianggarkan ketika itu berjumlah 10,000 orang mula berhimpun semula di hadapan Kompleks Beli Belah Sogo untuk meneruskan misi mereka yang tertangguh tadi. Apabila mereka mula hendak bergerak, tiba-tiba trak meriam air telah muncul semula dari 3 buah penjuru yang berbeza. Rupa-rupanya pihak polis sudah pun merancang pelan untuk mengepung peserta demostrasi daripada meloloskan diri. Rata-ratanya peserta demostrasi telah ditembak secara dekat dengan meriam air. Situasi ketika itu sungguh gamat dan cemas. Ramai orang awam yang tidak bersalah turut terheret ke dalam situasi cemas ini.

Orang ramai lari menyelamatkan diri apabila FRU mula menggunakan meriam air untuk menyuraikan demonstrasi

Menurut seorang Unit Amal Pas yang ditemui di Stesen Komuter Bank Negara, selepas situasi itu iaitu sekitar jam 5 petang ramai peserta yang hadir telah bersurai akibat tekanan yang kuat daripada FRU dan Polis. Sehingga kini menurut media alternatif seramai lebih 600 orang termasuk 44 remaja telah ditahan untuk siasatan lanjut. Tahap keterberjayaan demonstrasi ini juga masih tidak diketahui. - Nurfaiz Foat

---------------------
*untuk lebih gambar dan cerita. Sila lihat di laman fotoblog saya di SINI

Wednesday, July 29, 2009

Outing KL bersama Geng Fotografikr

Salam..Ahad lepas memang menyeronokkan. Saya dapat kenal dengan ramai kawan baru. Lingkungan umur semuanya lebih tua daripada saya, jadi maksudnya sayalah yang paling mudakan pada waktu itu. Agak segan jugak pada mulanya. Sudahlah saya sampai paling lambat. Sebenarnya saya terlajak tidur, maklumlah, sejurus sampai di rumah daripada perjalanan tren KTM dari Perlis yang memenatkan, saya terus mandi, solat Subuh dan tidur. Sepatutnya saya bertolak dari rumah pada pukul 7 pagi, tetapi terjaga dari tidur pukul 8. Jadi sudah lambat sejam disitu.

Nasib baik, Sdr. Ichi dari Fotografikr beri panduan arah dan dia pun tidak sampai lagi pada waktu itu. Saya sampai di lokasi pada jam 10 pagi. Lambat sejam, tapi memang mereka semua tunggu sambil bersarapan sebab saya bertanya dengan orang pertama saya kenal dalam kumpulan itu iaitu Sdr. Izhan. Dia kata, sudah agak lama mereka di situ.

Saya hanya sempat duduk sekejap sahaja di Restoran Yusuff, Pasar Seni itu. Beberapa minit kemudian, kumpulan dibahagikan kepada tiga berdasarkan warna asas iaitu RGB (Red, Green, Blue). Saya memilih untuk menyertai kumpulan biru dan subjek yang perlu dicari adalah yang mempunyai unsur biru.
Aktiviti kali ini memang sangat menyeronokkan. Kami berjalan dari Pasar Seni sampailah ke Times Square. Dalam pada kami mencari subjek untuk dirakam gambarnya, kami bertukar-tukar fikiran dan pandangan dalam bidang ini.

Dari Kiri : Sdr. Niezam (tersorok), Sdr. Khilmi (Kapten), Sdr. Skyrocket, Sdr. Izam, Sdr. Izhan, Sdr. Kumat

Saya harap selepas ini saya dapat sertai lagi sebarang aktiviti seperti ini. Kedatangan tempoh hari memang membanggakan.

Monday, July 13, 2009

Urticaria (Gelgata)

Salam..anda pernah dengar tak pasal gelgata?. Bukan semua orang tahu fasal ini. Saya pun baru sahaja tahu selepas bertahun-tahun menghadapi masalah ini. Setelah hampir beberapa minit menggunakan Google. Akhirnya saya dapat tahu yang ruam gelgata ini, yang selalu disebutkan oleh orang dulu-dulu mempunyai nama saintifiknya iaitu Urticaria.

Boleh dikatakan saya pada setiap pagi, kalau waktu itu suhu berada pada paras 20 darjah Celcius dan air yang keluar dari pili sejuk pasti saya akan kena gelgata. Ha, sebelum itu. Gelgata ini boleh dibahagikan kepada beberapa sebab dan faktor penyebabnya.

1) Air
2) Suhu
4) Jangkitan kuman
5) Tekanan
5) Alergi

dan beberapa sebab lagi yang telah direkodkan.

Saya pun tak tahu kenapa, tetapi kulit pada badan saya ini boleh dikatakan memang sensitif betul. Kalau sejuk mesti kena gelgata, tapi tidak lah kronik sampai satu badan. Cuma di bahagian sendi tangan dan kaki atau leher. Begitu juga kalau mandi sungai pada pagi hari, cari nahaslah jawabnya. Satu sahaja syarat yang saya tahu untuk mengelakkan dari gelgata ini merebak pada badan saya. Jangan garu.

Tetapi hari sabtu punya cerita, saya kena gelgata satu badan. Ambil masa 3 hari untuk pulih seperti sediakala. Ini saya dapati adalah akibat cuaca sejuk melampau secara tiba-tiba di Perlis. Hujan satu hari tidak berhenti berserta angin sejuk. Maklumlah Perlis punya cuaca berbeza sikit sebab dah menghampiri garisan Jadi. Setelah membaca di Wikipedia, barulah saya tahu. Selama ini saya asyik ingat kalau saya garu, gelgata pasti merebak sebab kuman pada kuku dipindahkan ke bahagian kulit yang lain rupa-rupanya salah.

The skin lesions of urticarial disease are caused by an inflammatory reaction in the skin, causing leakage of capillaries in the dermis, and resulting in an edema which persists until the interstitial fluid is absorbed into the surrounding cells.
Urticaria are caused by the release of histamine and other mediators of inflammation (cytokines) from cells in the skin. This process can be the result of an allergic or non-allergic reaction, differing in the eliciting mechanism of histamine release.


Apabila cuaca atau suhu sejuk (dalam konteks saya, aquagenic/cold urticaria), kapilari kecil pada dermis akan pecah dan akan menyebabkan edema (pengumpulan bendalir di bawah kulit) yang akan berterusan sehingga bendalir tisu kulit diserap oleh sel sekeliling. Sekarang pasti anda boleh bayang kenapa ada semacam bonggolan yang gatal pada kulit jika berlaku gelgata bukan. Semua kejadian ini dipanggil "inflammatory" yang tidak silap saya dalam bahasa melayu dipanggil rengsa. Seterusnya proses ini diteruskan apabila bendalir "Histamine" dirembeskan yang menjadi pencetus kepada rengsa kulit tadi.

Ni bukan perut aku, ni ambil dari Wikipedia

Logik bukan, jika anda garu dan garu dan garu. Merebaklah ia ke merata tempat, sebab kapilari darah yang kecil pada dermis semakin dipecahkan.

Gelgata seperti saya sebutkan tadi boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, namun proses kejadiannya adalah sama. Saya dahulu pernah terkena gelgata yang disebabkan oleh jangkitan kuman setelah baring pada sofa yang tercemar dan kawan saya juga pernah kena yang disebabkan oleh faktor sama setelah mengalihkan pasu bunga. Untuk penawarnya, doktor telah memberikan satu suntikan yang saya rasa anti-histamine.

Sekarang, saya sudah sihat. Boleh hidup macam biasa. Hehe

*teringat masa belajar biologi dulu-dulu
rujukan penuh Urticaria di Wiki

Wednesday, July 8, 2009

Fenomena


Salam..ia satu benda biasa kalau orang yang kita tahu, kita kenal meninggal dunia lalu kita berasa ralat atau sedih. Tipulah kalau tak sedih. Sedih tak bermaksud menangis, tapi saya tahu rasa itu pasti muncul dalam semua manusia di dunia ini.

Kenapa saya menulis begini? Semuanya pasal MJ, lihat artikel sebelum ni pun pasal MJ. Saya bukanlah "die hard fan" MJ, tetapi sebagai manusia yang hidup pada era kegemilangannya pasti boleh merasakan aura beliau.

Memang tabiat saya, kalau saya tahu sesuatu perkara dan saya rasa ia sesuatu yang penting bagi saya, saya pasti akan selidik dengan mendalam. Samalah juga dengan MJ. Sejak pertama kali berita fasal kematian beliau saya telah membaca banyak mengenai hidupnya, menonton video konsertnya dan membaca lirik-lirik lagunya. Macam pelik, tapi bagi saya, saya berasa puas bila saya dapat tahu mengenai sesuatu yang pada suatu masa dahulu berjaya mencorakkan dunia.

Fenomena-lah! Saya katakan begitu sebab, di kelas pun, pensyarah saya ada menyebut perihal MJ walau sekali dalam masa 3 hari kelas baru bermula.

Fenomena-lah! 8TV menyiarkan secara langsung upacara penghormatan terakhir baginya untuk tatapan umum.

Fenomena-lah! Kawan-kawan saya menceritakan perihal ibu bapa mereka yang membeli cakera padat MJ ketika mereka di sekolah rendah.

Fenomena-lah! Saya yang sebelum ini tak pernah ambil tahu sangat pasal beliau kini sudah sedikit sebanyak tahu pasal sejarah hidupnya.

***R.I.P MJ***